Jika
orang awam gagal ‘menguruskan perbezaan’, masih tidak mengapa. Itu
masih boleh diterima. Ini kerana orang awam kebanyakannya masih kurang
ilmu. Selain kurang cerdik, orang awam juga kurang terdidik. Justeru,
emosi yang panas acap kali mendahului fikiran yang bernas dalam
menghadapi perbezaan pendapat atau pandangan. Namun, apabila para ulama
yang sewajar sudah cerdik dan terdidik juga terjebak dalam
pertelingkahan yang tidak berkesudahan, ini sesungguhnya satu tragedi
yang sangat menyedihkan.
Sesungguhnya,
ini adalah salah satu cabaran untuk ahli-ahli agama masakini. Cabaran
yang boleh merobek kewibawaan ilmu dan ketinggian peribadi mereka.
Betapa sekarang kita dapat melihat ulama sesama ulama telah tega
bertelagah dan bertikam lidah. Yang dijadikan senjata bukan ilmu dan
fakta, tetapi sindiran dan tempelakkan yang sangat menjelikkan. Ada di
antaranya yang berani mencabar pihak lawan untuk berdebat bagai ayam
sabung yang berkokok dengan sombong. Ada yang mencemik, mencebir dan
senyum sinis ketika membahaskan pandangan pihak lain.
Tidak
salah untuk berbeza, tetapi biarlah dengan nada dan nuansa yang
mengekalkan kasih sayang dan silaturahim. Apa gunanya kelulusan yang
berjela-jela, dengan gelaran yang beraneka rupa, tetapi adab dan akhlak
tidak terjaga. Pada hal, seorang ulama silam, Ibnu Mubarak berkata:
“Aku mempelajari adab selama tiga puluh tahun dan aku mempelajari ilmu
selama dua puluh tahun dan adalah mereka (para ulama) mempelajari adab
kemudian barulah mempelajari ilmu. “
Jika
benar yang dicari ialah kebenaran, masakan ada sikap sombong yang
menonjol. Keangkuhan itu boleh dibaca melalui sikap, tulisan dan
kata-kata. Cabar sana, perleceh sini. Pelbagai label juga telah
dilontarkan… Ini ‘sunni jumud’, itu ‘wahabi sesat’, sipolan ‘sufi
menyeleweng’ dan sipolan ‘salafi tegar’. Subhanallah, lupakah pada pesan
Ibnu Umar ini : “Tiadalah seseorang lelaki itu dianggap alim
sehinggalah dia tidak hasad dengki kepada orang yang lebih alim
daripadanya dan tidak menghina orang yang kurang daripadanya serta tidak
mencari dengan ilmunya upahan kebendaan.”
Timbul
pertanyaan, apa benar pergeseran ini disebabkan oleh perbezaan ilmu,
hujah dan prinsip? Atau sebab sebenar tidak lain hanya sifat hasad
dengki. Berbeza bukan kerana ilmu atau amalan, tetapi kerana tidak
senang melihat yang di sebelah ‘sana’ lebih ramai pengikutnya, lebih
banyak hartanya dan lebih tersohor namanya. Alasan perbezaan ilmu cuma
mainan bibir. Apa yang berkecamuk di dalam hati hanyalah sifat hasad
dengki. wallahua’lam.
Harapan
kita, para ulama janganlah sekali-kali merelakan diri dijadikan ‘ayam
sabung’ oleh pihak berkepentingan. Akibatnya, hukum agama akan
dijadikan modal untuk mengaut keuntungan duniawi. Ulama menyerang ulama
umpama dua ekor gajah yang berjuang... akibatnya umat akan jadi seperti
pelanduk yang mati di tengah.
Broker
kuasa dan harta akan tertawa apabila ulama merelakan diri mereka
digunakan sebagai batang kayu pada kapak untuk menebang kayu. Bukankah
ulama adalah pewaris para nabi? Maka pada siapa lagi umat ini hendak
berlindung jika ulama sendiri pun sudah diperalatkan oleh yang punya
harta dan kuasa? Jadi tidak hairan jika ada pihak secara sinins
menyindir, satu fatwa berapa harganya?
Pergeseran
di kalangan ulama bukan sahaja mengelirukan, bahkan merugikan…
Bayangkan seseorang yang baru berjinak-jinak hendak berzikir, tiba-tiba
diterjah oleh mereka yang dianggap ulama dengan kata, “Zikir semacam
itu bid’ah”. Bagaimana pula reaksi seorang pelajar yang sekian lama
belajar ilmu Tauhid di sekolahnya menerusi pendekatan Tauhid Rububiyah
dan Uluhiyyah dianggap sesat oleh ulama A? Manakala ada pula pelajar
yang mengambil pendekatan belajar Tauhid mengikut pendekatan ‘Sifat Dua
puluh’ dianggap sesat oleh ulama B?
Itu
belum dikira, ada individu yang mufarakah daripada solat berjemaah
dengan imam yang dakwanya ’musyabbihah’ dan ’mujassimah’ kerana kaedah
belajar tauhidnya tidak sah. Dan pihak yang terdakwa pula membalas
dengan menuduh pihak lawannya ‘bid’ah dalalah’ dan ‘syirik’ kerana
berdoa dengan wasilah dan istighasah.
Apa
nanti akan berlaku anak dara dari kelompok ‘sifat dua puluh’ akan
menolak untuk dijodohkan dengan pemuda yang datang daripada golongan
‘tauhid uluhiyah dan rububuyah? Bagaimana pula dengan sembelihan,
kenduri-kendara dan aktiviti-aktiviti muamalat antara kelompok sufi dan
salafi? Sedangkan jika diteliti, semua pihak yang saling bertelagah ini
masih mengucap kalimah syahadah. Masih beriman dengan Allah dan
RasulNya.
Bukan
sahaja mereka yang bertelagah ini duduk sekampung, tinggal setaman,
rakan kerja, malah ada kalanya terdiri daripada sanak saudara sendiri.
Musibah dan nikmat mereka masih saling berkaitan. Kenduri kahwin, sakit
demam, kemalangan dan urusan jenazah (apabila menghadapi kematian) masih
saling memerlukan. Alangkah baiknya jika pergeseran ini mampu
didamaikan. Berbeza tidak semestinya menimbulkan sengketa.
Teladanilah
sifat lapang dada Imam Safie rhm yang pernah berkata, “pandangan ku
betul, tetapi aku tidak menolak kemungkinan pandangan orang lain pun
betul juga. “ Jiwanya penuh dengan adab dan akhlak tanpa menafikan
keyakinannya terhadap diri sendiri. Imam-imam besar itu bukan sahaja
mempunyai ilmu yang tinggi tetapi juga akhlak dan keperibadian yang
tinggi. Ilmu dan adab sangat serasi di dalam diri mereka.
Justeru,
sekalipun ada masanya para ulama zaman dahulu berbeza pendapat, namun
masyarakat banyak mendapat manfaaat hasil perbezaan ilmu dan hujah di
kalangan mereka. Banyak buku yang terhasil, apabila mereka saling
mempertahankan hujah mereka. ‘Pertarungan ilmu’ di dalam gelanggang adab
ini sangat bermanfat dalam usaha membudayakan ilmu. Pada zaman itu
jelas ikhtilaf menjadi satu rahmat kepada masyarakat.
Berbeza
pendapat di kalangan ulama tidak menjadi masalah. Itu sudah fitrah dan
sunatullah yang tentunya punya hikmah yang tersendiri. Namun, yang
menjadi masalah ialah sikap ulama dalam menghadapi perbezaan. Sikap
negatif hanya akan menimbulkan perbalahan yang tidak akan berkesudahan.
Pertikaian yang dulu-dulu, yang hakikatnya telahun istirehat pada titik
‘kami bersetuju untuk tidak bersetuju’ telah dibongkar kembali.
Kononnya untuk mencari kebenaran. Ironinya, hasilnya, masih yang itu-itu
juga.
Bagi
yang sangat sayang Imam Safie, mendakwa sangat berpegang teguh dengan
mazhabnya, lihat adab Imam yang hebat ini ketika beliau mempunyai
pandangan yang berbeza dengan gurunya Imam Malik. Dengan penuh rasa
sayang beliau berkata, “ apabila disebut ulama, maka Malik adalah
bintangnya.” Apa kurangnya dengan keperibadian Imam Ahmad, murid kepada
Imam Shafie, yang walaupun mempunyai banyak perbezaan pandangan dengan
gurunya namun masih mengakui, “ demi Allah, aku tidak tidur malam selama
tiga puluh tahun kecuali aku berdoa untuk Imam Shafie.”
Perbezaan
dikalangan para ulama silam benar-benar bersumber dari hati yang
inginkan kebenaran, fikiran yang disinari ilmu dan rasa yang tulus
ikhlas kerana Allah semata. Lalu Allah menjaga hati mereka... tetap
punya rasa cinta walaupun berbeza. Berbeza benar keadaannya dengan ahli
agama masa kini. Kita kurang mendapat mendapat manfaat hasil perbezaan
di kalangan mereka. Yang kita dengar hanyalah lontaran cemuhan, sikap
memperlekehkan dan mengejek antara satu sama lain.
Sesungguhnya,
umat akhir zaman ini tidak hanya memerlukan ulama yang luas ilmunya,
tetapi juga jujur lagi amanah sikapnya. Ulama yang bukan hanya petah
berhujah dengan Al Quran dan Al Hadis tetapi mempunyai adab dan akhlak.
Ulama yang bukan hanya mempunyai kelulusan tetapi punya ketulusan. Yang
hebat dalam pengajian dan pergaulan. Ulama yang bukan hanya mewarisi
ilmu, malah akhlak para nabi.
Ulama
perlu bebas dari gamitan harta dan belitan kuasa. Jika ada perbezaan
dikalangan mereka, apa salahnya bertemu empat mata, berbincang dan
bermuzakarahlah dengan penuh tenang dan dalam keadaan tertutup. Kata
bijak pandai, “people dont care how much you know untill they know how
much you care – manusia tidak peduli berapa banyak ilmu kamu, sehingga
mereka tahu sejauh mana kamu ambil peduli.” Lalu, seorang ulama sudah
semestinya bersikap prihatin, simpati dan empati itu ketika menghadapi
perbezaan dengan ulama lain!