Percaya
tidak, acap kali apabila harta bertambah, kita seolah-olah rasa
bertambah ‘miskin’. Apabila mendapat bonus atau naik gaji misalnya,
tiba-tiba semakin banyak yang kita inginkan. Kita merancang untuk
membeli kereta baru, menukar perabot baru dan lain-lain. Keinginan kita
menjadi semakin besar dan bertambah. Akhirnya duit yang bertambah
menjadi susut akibat keinginan yang meningkat. Sungguhnya, orang yang
miskin, bukan kerana kekurangan harta tetapi mereka yang banyak
keinginan!
Itulah
akibatnya apabila bukan iman yang mengendalikan hidup kita. Diri kita
akan hilang kendali seumpama kereta hilang brek dan tiada kawalan. Kita
masih mencari dan terus mencari kemewahan dunia sedangkan usia sebenar
semakin singkat dan pertemuan kita dengan Allah semakin dekat. Hati kita
tidak pernah kita gilap sebab kita masih ghairah memburu harta yang
tidak ada kesudahan dan penghujungnya.
Tidak
salah memburu harta... burulah. Namun ingat, itu cuba alat, bukan
matlamat. Berhati-hatilah menjaga hati. Jangan pemburuan yang dahsyat
itu sampai menjejaskan kesihatan hati kita. Jika dapat, bersyukur. Jika
gagal, bersabar. Jangan sekali-kali, apabila harta bertambah, kita jadi
semakin kufur dan takabbur. Jangan juga apabila gagal memilikinya, kita
rasa putus asa dan kecewa. Sungguh, kufur, takabbur, putus asa dan
kecewa itulah parasit yang akan menghilangkan ketenangan di dunia dan
akhirat.
Dalam
pengalaman hidup kita tentu pernah melihat penghuni rumah besar tetapi
hatinya sempit. Air mukanya muram, mudah marah dan pantang terusik...
mudah marah dan melenting. Apabila kita bertamu di rumah, layanannya
layu dan kemesraan dibuat-buat. Dia sentiasa memonopoli perbualan. Makan
dan minum yang dihidangkan, bukan dari hatinya. Semuanya kaku oleh
basa-basi yang dicorakkan adat dan kebiasaan semat-mata. Ironinya,
sikaya kehilangan ‘sentuhan kemanusiaan’ di rumahnya yang lapang,
akibat jiwanya yang terhimpit.
No comments:
Post a Comment