Apabila
diuji dengan kesakitan, perpisahan, kegagalan, kemiskinan… terdetiklah
rasa, “apakah Tuhan sayangkan aku? Kenapa aku diuji sebegini berat
sekali? ” Subhanallah, saya terasa ingin menjawab rasa hati ini dengan
sebuah tulisan yang panjang. Terasa benar-benar terpanggil. Tetapi
kerana banyak cabaran dan hambatan, saya mulakan dengan tulisan yang
secebis ini… Saya punya rasa malu, bimbang, dan tidak puas jika
bersandar kepada akal dan susunan ayat untuk membujuk hati… namun,
marilah sandarkan segala harapan dan kekuatan kepada Allah. Yang secebis
ini jika diberkati lebih baik daripada selaut yang tidak diredhai.
Terimalah tuisan ini sekadarnya
KENALI TUHAN YANG MENGUJI MU!
Apabila
ujian kesakitan, perpisahan, kegagalan, kemiskinan datang
bertimpa-timpa, terdetik juga kata di dalam hati, “apakah Tuhan masih
sayangkan aku? Kenapa aku diuji seberat dan sekerap begini? ”
Subhanallah, tanpa disedari seolah-olah kita sudah mempersoalkan kuasa
Tuhan, padahal kita hanyalah hamba-Nya. Hamba tidak berhak menyoal,
sebaliknya akan disoal. Namun, itulah kelemahan manusia. Kita sering
alpa dan terlupa.
Paling
malang, manusia kerap terlupa bahawa dirinya hamba. Terutamanya ketika
diuji. Sebab itu Allah mengajar kita agar mengucapkan kalimah ‘istirja’
setiap kali diuji… Innalillah wa inna ilahihi rajiun, yang ertinya,
“kami ini milik Allah, kepadaNya kami akan dikembalikan.” Ya, inilah
kalimah yang mengingatkan bahawa kita ini milik Tuhan, Tuhan layak
menguji kita dan kita layak diuji. Jangan sekali-kali menolak apalagi
‘mengamuk’ apabila diuji. Kita hanya hamba…
Namun
untuk meringankan kepedihan ujian yang menimpa, hendak kita mengenal
Allah yang memberi ujian itu. Kenallah sifat ilmu, kasih-sayang dan
belas ihsan Allah yang Maha hebat. Sebagai hamba ilmu kita terbatas,
ilmu Allah yang Maha Luas. Kasih sayang kita cuma seraut, kasih sayang
Allah selaut. Orang yang mengenal Allah, akan mencintaiNya. Bila sudah
cinta, kuranglah derita diuji. Bukankah cinta itu buta?
Orang
yang mengenal kasih-sayang Allah punya keyakinan bahawa keputusan
(takdir) Allah itu akan memberikan yang terbaik. Allah yang Maha
Pengasih dan Penyayang, tidak akan memberi sesuatu yang buruk untuk
hamba-Nya. Justeru, hamba yang baik tidak akan berburuk sangka terhadap
Allah dengan merasakan apa yang ditakdirkanNya (ujian) itu ialah sesuatu
yang tidak baik.
Yakinlah
bahawa semua ketentuan Allah itu adalah baik. Ujian itu pasti ada
kemuslihatan yang tersembunyi untuk setiap kita. Pilihan Allah untuk
kita adalah yang terbaik, cuma kita tidak atau belum mengetahuinya. Bila
berlaku nanti, barulah kita tersedar, ya Allah mujur Kau takdirkan
begitu. Kata arifbillah (orang yang mengenal Allah), “sekiranya kita
merasakan kasih sayang Allah itu terpisah apabila DIA menguji kita, itu
petanda tumpulnya akal, butanya mata hati.”
Diantara
hikmah ujian, seseorang akan dapat menambah tumpuan dan tujuannya untuk
menjadi hamba Allah. Yang mana selama ini, jalan itu disekat oleh hawa
nafsu. Sebab ujian bertentangan dengan kehendak, keinginan nafsu dan
syahwat manusia. Nafsu yang buas dan liar untuk melakukan maksiat itu
tidak suka pada sakit, rugi, miskin dan lail-lain. Lalu apabila diuji,
nafsu itulah yang terdesak, tidak senang dan ingin segera terlepas
daripada ujian itu.
Jadi,
apabila nafsu terdesak, hati akan dan akal terbuka. Inilah jalan
kebaikan, kerana ajakan untuk melakukan kejahatan akan turut tertahan,
kerana nafsu itu sangat mengajak pada kejahatan. Ujian itu sesugguhnya
akan melemahkankan nafsu, menghilangkan kekuatannya serta batalkan
kudratnya. Bila nafsu lemah, manusia tidak akan jatuh ke lembah dosa –
mengejar keseronokan dunia sehingga melupakan batasan syariat.
Ujian
juga menimbulkan rasa taat kepada Allah. Hati tidak dapat tidak mesti
bersabar. Hati akan terdidik untuk redha dan tawakal, kerana Qada dan
Qadar-Nya mesti berlaku. Manusia akan lebih dekat dengan agama,
kepentingan akhirat, cinta kepada Allah. Hikmah ini walaupun sebesar
zarah tetapi apabila melekat di hati kebaikannya lebih tinggi dari amal
lahiriah walaupun sebesar gunung. Inilah kebaikan di sebalik kepahitan
ujian. Justeru, Allah berfirman:
“…Dan
boleh jadi kamu menyukai sesuatu sedangkan sesuatu itu merosakkan kamu.
Dan Allah mengetahui, sedangkan kamu tidak tahu.” (Surah Al Baqarah :
216).
Dengan
ujian juga, Allah ‘membersihkan’ kotoran hati manusia. Ujian itu
menghapuskan dosa dan kesalahan terhadap Allah seperti bahan pencuci
membersihkan kain yang kotor. Nabi Isa pernah berkata, “belum dikatakan
seorang itu kenal Allah, sebelum dia bergembira dengan musibah dan
penyakit ke atas dirinya, kerana berharap supaya dihapuskan
kesalahannya.”
Bila
kita benci dengan ujian, ertinya belum kenal Allah dan (kerana) tidak
faham itulah cara (kaedah) Allah mengampunkan dan membersihkan dosa-dosa
kita. Ya, seolah-olah orang yang yang benci diuji itu tidak suka
dibersihkan daripada dosa-dosa atau apakah dia merasa tidak berdosa?
Sebaliknya, apabila kita gembira (menerima dengan baik) ujian itu,
kerana yakin bahawa yang datangkan ujian itu juga daripada Allah. Kita
bukan sahaja berikhtiar (berusaha) untuk menghilangnya tetapi juga
berusaha untuk mendapatkan hikmahnya.
Rasulullah
SAW bersabda, “barang siapa yang dikehendaki Allah pada orang itu
kebaikan, maka Allah akan cuba dengan ujian-Nya.” Jadi, bila diuji,
terimalah dengan baik dengan mencari hikmah-hikmahnya kerana tidak ada
takdir Allah yang tidak ada hikmahnya. Orang soleh bila diuji,
hikmah-hikmah ujian akan mendekatkan mereka kepada Allah.Tapi bagi anti
diuji, tidak akan dapat melihat hikmah kerana akal dan hatinya melihat
sesuatu hanya selari dengan hawa nafsunya sahaja.
Ingatan
para hamba kepada Allah akan bertambah dengan ujian-Nya. Itu petanda
Allah pilih dia untuk diuji. Dan bila diuji, bertambah pulalah ingatan
hamba Allah kepada Allah. (Oh… Allah ingat lagi padaku). Oleh itu, tiada
jalan keluar melainkan lakukanlah tiga langkah ini apabila kita diuji:
I)
Kuatkan iman, pupuk kesabaran, mantapkan keyakinan menghadapi ujian itu
dengan segera mendekatkan diri kepada Allah. Apabila Rasulullah SAW
ditimpa masalah, baginda akan terus bangun mendirikan solat dua rakaat.
Baginda tidak melihat masalah yang besar tetapi cepat-cepat merujuk
kepada Pemberinya – Allah Maha Besar. Masalah kita mungkin besar tetapi
Allah yang memberinya jauh lebih besar. Justeru, segeralah ‘mencari’
Allah sebelum mencari yang lain-lain apabila ditimpa ujian.
II)
Cuba serapkan rasa di dalam hati Kehendak (pilihan) Allah mengandungi
hikmah yang baik jika diterima penuh keinsafan dan kesabaran. Yang
penting apa yang berlaku ‘di dalam hati’ kita, bukan apa yang berlaku
diluar diri kita. Allah berikan yang pahit, jadikan ubat. Allah berikan
yang pedih, anggaplah itu pembedahan jiwa untuk mengeluarkan
penyakit-penyakit hati kita. Ya, jika limau yang kita dapat masam…
buatlah air limau, kata orang yang bijaksana.
III)
Berbaik sangka dengan Allah dengan cara menyedari (mencari) hikmah.
Inilah hakikat hidup yang dipilih Allah untuk kita. Bila baik sangka
kepada Allah, maka kita akan bertambah hampir kepada-Nya. Apabila hampir
kepadanya… insyaAllah semuanya akan baik-baik belaka. Bukankah DIA
Tuhan yang Maha Baik?
Ya,
Allah timpakan ujian yang besar, untuk ‘membesarkan’ kita. Ingat itu.
Justeru, ahli yang bijaksana sering berkata…Pemimpin yang besar itu
dikenali melalui ujian yang dihadapinya. Semakin besar tahap
kepimpinannya, maka semakin besarlah ujian yang Tuhan sediakan untuk
‘membesarkan’ lagi pengaruh kepimpinannya.
Dan
setiap kita adalah pemimpin… sekurang-kurang pemimpin buat diri
sendiri. Jadi, kita pasti diuji! Justeru apabila diuji jangan katakan,
“apakah aku tersisih?” Sebaliknya, katakan, “aku sudah terpilih!”
No comments:
Post a Comment